global

70 imam baca khutbah kutuk keganasan di 35 negara

Oleh Agensi

RIYADH: Seramai 70 imam Arab Saudi menyampaikan khutbah Jumaat di 35 negara seluruh dunia sebagai sebahagian inisiatif negara itu mengutuk unsur melampau dan keganasan.

Arab News melaporkan, projek antarabangsa itu, bertujuan memperkenalkan nilai sederhana dan tolak ansur Islam, dibuat menurut program imam luar negara Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.

Menterinya, Sheikh Abdullatif Al-Asheikh, yang memantau program itu, berkata ia membantu menyedarkan umat Islam sendiri mengenai agama mereka.

Dalam khutbah, imam menegaskan kepentingan berpuasa, solat dan membaca al-Quran sepanjang Ramadan dan menggesa umat Islam seluruh dunia bersatu menentang pihak yang mahu menimbulkan perpecahan dalam kalangan agama.

Penduduk memuji langkah itu, yang disiarkan menerusi televisyen, kerana membantu menyatukan umat Islam dan menolak segala bentuk keganasan dan ekstremisme.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 1:54pm
d