global

Trauma dinoda 5 lelaki

Oleh Agensi

NEW DELHI: Seorang wanita berusia 20 tahun dirogol selama tiga jam oleh lima lelaki ketika bersiar-siar bersama suaminya di India.

Daily Mail melaporkan ketika diserang, wanita itu sedang membonceng motosikal dengan suaminya di Alwar, Rajasthan, sebelum mereka ditahan suspek lalu mengheret wanita itu ke gaung. Pasangan itu dipaksa berbogel sebelum serangan seksual itu berlaku selama tiga jam.

Suspek bukan saja merogol wanita itu malah turut merakam perbuatan jahat itu dan mengancam akan memuat naik video berkenaan ke dalam talian sekiranya pasangan itu membuat laporan polis.

Mangsa dan suaminya memilih berdiam diri mengenai serangan itu kerana tidak mahu melukakan ibu bapa, keluarga dan komuniti Dalit di India.

Bagaimanapun, selepas rakaman serangan itu mula tersebar di media sosial, pasangan itu bertindak melaporkan kejadian itu dengan harapan perkara mengerikan itu tidak dialami orang lain.

Polis di Rajasthan berjaya menahan kesemua lima suspek yang dituduh melakukan serangan ganas manakala suspek keenam turut ditahan pihak berkuasa kerana memuat naik video di media sosial.

The Times of India melaporkan, selepas kejadian 26 April lalu, mangsa yang masih hidup meminta kerajaan India mengenakan hukuman mati ke atas penyerangnya.

Wanita itu berkata: “Saya mahu kesemua lima lelaki yang merogol saya, merakam kejadian itu walaupun saya merayu kepada mereka dan mengubah hidup kita selamanya, harus digantung.

“Jika ada hukuman lebih buruk daripada itu maka ia harus diberikan kepada mereka berlima.”

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 5:36pm
d