global

Bayi maut ibu leka layan media sosial

Oleh Agensi

BANGKOK: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut digilis lori akibat ibunya leka melayan media sosial menggunakan telefon bimbit di Samut Prakan, tengah Thailand.

Menurut laporan The Sun yang memetik media tempatan, bayi berkenaan, Nontawat Saingam, bermain di hadapan rumah ketika ibunya, Wilawan Pitpan, 32, berbual dengan kakaknya melalui media sosial.

Wanita itu tidak menyedari anaknya yang berada di dalam ‘walker’ sudah keluar dari pintu pagar dan berjalan ke arah jalan raya.

Rakaman CCTV menunjukkan sebuah lori cuba mengelak daripada melanggar bayi itu tetapi mangsa terkena roda belakang menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian akibat tengkorak retak dan patah kaki kanan.

Menurut Wilawan, dia terleka seketika membiarkan anaknya berseorangan kerana khusyuk berbual dengan kakaknya di media sosial.

“Apabila terdengar bunyi dari jalan raya, saya terkejut mendapati anak tiada lalu terus ke luar dan melihat kemalangan itu,” katanya.

Pemandu lori, Sanan Sopapong, 61, berkata, dia memandu dari tapak pembinaan kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.

Sanan berkata: “Saya tidak memandu laju kerana jalan sempit dan terkejut tiba-tiba seorang bayi di dalam ‘walker’ melintas jalan.

“Ia terlalu dekat, saya membelok bagi mengelak namun bayi itu termasuk ke bawah lori.”

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 8:56am
d