global

Putin tunjuk skil main hoki

Oleh Agensi

SOCHI (RUSSIA): Presiden Russia, Vladimir Putin membuktikan kehebatannya apabila menyertai satu pertandingan hoki ais di sini.

Putin yang berusia 66 tahun menyertai perlawanan pertunjukan tahunan di stadium hoki ais di Bolshoy Ice Dome di Sochi Jumaat lalu.

Dalam perlawanan itu Putin menyertai pasukan yang disertai bekas pemain hoki ais profesional Russia, Slava Fetisov dan Pavel Bure serta beberapa pegawai kerajaan termasuk Menteri Pertahanan Sergei Shoigu.

Pasukan lawan pula diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain amatur seperti Gennady Timchenko, Vladimir Potanin dan beberapa gabenor.

Putin memakai baju jersi bernombor 11 dan bermain di posisi penyerang tengah.

Pemimpin berpengaruh itu membuktikan kehebatannya apabila menjadi penjaring gol terbanyak pasukannya yang menang dengan keputusan 14-7.

Bagaimanapun, Putin sempat mendapat malu apabila dia terjatuh dengan wajahnya tersembam pada ais tetapi dia segera bangun dan melambai kepada penonton.

Putin sering menonjolkan dirinya masih gagah dan dia beberapa kali tidak memakai baju bagi menunjukkan badannya yang sasa ketika menunggang kuda dan berendam di dalam kolam ais.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 8:22am
d