global

Akhirnya 'kantoi'

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan sanggup mengayuh basikal merentasi lima wilayah di China dalam usahanya untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, selepas setahun diburu polis, lelaki dikenali sebagai Jia berusia 49 tahun itu berjaya ditahan polis di Jingmen, Wilayah Hubei, awal pagi Ahad lalu, lapor South China Morning Post.

Dia ditahan pegawai polis, Feng Lin selepas berkelakuan mencurigakan apabila mengayuh basikal sambil membawa beg pakaian kira-kira jam 2 pagi sebelum diminta menunjukkan kad identiti.

“Saya menceraikan isteri dan sangat sedih. Sebab itu saya ingin mengembara dan mengayuh basikal dari wilayah Henan ke Jingmen sebelum ke Xiangyang,” katanya yang dipetik Thepaper.cn berkata kepada pegawai polis terbabit.

Pada masa sama, lelaki terbabit sempat membodek pegawai polis berkenaan sambil mengatakan dia menjalankan tugas dengan baik.

Polis yang melakukan pemeriksaan lanjut akhirnya mendapati Jia adalah suspek kes pembunuhan sebelum lelaki itu membuat pengakuan terhadap jenayah yang dilakukan.

Jia didakwa membunuh jirannya pada Februari tahun lalu selepas memecah masuk rumah mangsa.

Dia kemudian disenaraikan sebagai penjenayah dikehendaki dan ganjaran turut ditawarkan kepada orang ramai yang berjaya menangkapnya.

Thepaper.cn turut memetik Jia berkata, dia melarikan diri dengan membawa wang poket sebanyak 6,000 yuan (RM3,600).

Setahun selepas itu, dia hanya mengisi perut dengan memakan pau serta bubur dan tidur di kawasan kampung.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 8:45am
d