global

Kanada gagal ambil balik 69 kontena sampah

Oleh Reuters

MANILA: Filipina memanggil pulang dutanya di Kanada selepas Ottawa gagal mengambil balik 69 kontena sampah dari negara itu selepas tarikh akhir yang ditetapkan pada 15 Mei.

Bulan lalu, Presiden Rodrigo Duterte mengancam ‘mengisytiharkan perang’ terhadap Kanada dan beliau sendiri akan menghantar sampah terbabit kembali ke Kanada.

Duterte, 74, yang terkenal dengan mulut celuparnya juga berkata, beliau akan melambakkan sampah itu di depan Kedutaan Kanada di Manila.

Kanada kemudiannya menyatakan ia akan mengatur untuk mengambil balik sampah terbabit namun tidak menyatakan bila.

“Kita mengekalkan delegasi kecil diplomatik di Kanada sehingga isu sampah berkenaan selesai,” kata Menteri Luar Filipina, Teodoro Locsin, melalui Twitter semalam.

Locsin turut menempelak diplomat Filipina kerana tidak berusaha sebaik mungkin agar Filipina mengambil kembali sampah itu yang menurutnya, gagal mematuhi arahan presiden kerana lebih pentingkan hubungan baik dengan Kanada.

Menurut Kanada, sampah terbabit yang dieksport ke Manila antara 2013 dan 2014, ialah urusan perniagaan yang tidak disokong kerajaan. Ia kemudian menyatakan akan mengambil balik sampah terbabit namun Manila memberi tempoh sehingga 15 Mei lalu, untuk Kanada berbuat demikian.

Sejak 2016, Filipina membuat beberapa bantahan diplomatik kepada Kanada selepas mahkamah memutuskan sampah terbabit perlu dihantar pulang.

Kontena terbabit diisytiharkan mengandungi plastik untuk kitar semula di Filipina namun ia didapati mengandungi lampin pakai buang, surat khabar dan botol air.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 9:03am
d