global

AS dakwa Iran beri restu sabotaj kapal tangki minyak

Oleh Reuters

BAGHDAD/WASHINGTON/TOKYO: Amerika Syarikat yang mendakwa Iran memberi restu kepada kumpulan militan sokongannya untuk mensabotaj kapal di Selat Hormuz, termasuk dua kapal tangki minyak Arab Saudi, beberapa hari lalu, mengarahkan kakitangan sokongan dikeluarkan dari kedutaannya di Iraq, bimbang ancaman militan.

Tindakan Amerika itu meningkatkan kebimbangan terhadap ketegangan antara Washington dengan Iran di Teluk Parsi ditambah dengan keputusan Amerika menghantar dua armada kapal perangnya ke rantau itu selain sejumlah pesawat pengebom B-52.

Kelmarin, Arab Saudi menyatakan dron bersenjata menyerang dua stesen mengepam minyaknya selepas dua kapal tangkinya rosak akibat serangan sabotaj dipercayai menggunakan dron di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Reuters yang memetik sumber kerajaan Amerika melaporkan, pakar keselamatan Amerika percaya Iran memberi restu untuk serangan terhadap dua kapal tangki membawa minyak mentah Arab Saudi terbabit iaitu satu membawa bendera UAE dan satu lagi kapal didaftarkan di Norway di Fujeirah, Selat Hormuz.

Menurut sumber itu, Amerika percaya Iran menggalakkan militan melakukan serangan namun mengakui tiada bukti pegawai Iran terbabit secara langsung.

Kementerian Luar Iran menganggap serangan itu ‘membimbangkan’ dan mendesak siasatan diadakan.

Ketegangan antara Amerika dengan Iran bermula selepas Washington mengisytiharkan Pengawal Revolusi Iran, cabang ketenteraan Iran yang berpengaruh sebagai kumpulan pengganas tahun ini.

Ketegangan memuncak apabila Teheran minggu lalu, mengumumkan tidak akan lagi mematuhi perjanjian nuklear 2015 kerana negara yang terbabit dalam perjanjian itu, termasuk Kesatuan Eropah gagal melindungi Iran daripada sekatan ekonomi Amerika.

Sementara itu, harga minyak meningkat sejak ketegangan di Teluk berikutan kebimbangan bekalan akan terjejas.

Pasaran hadapan minyak mentah Brent meningkat kepada AS$72.16 (RM300.51) setong semalam, meningkat 39 sen berbanding kelmarin.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 9:38am
d