global

Jalan laju panjang umur

Oleh Agensi

LONDON: Satu kajian menunjukkan, mereka yang berjalan kaki dengan cepat mungkin hidup 15 tahun lebih lama tanpa mengira ketinggian atau berat badan mereka.

Penyelidik di Universiti Leicester menganalisis data ke atas 474,919 orang dengan purata usia 52 tahun di UK Biobank antara 2006 dan 2016.

Hasil kajian mendapati wanita yang berjalan dengan cepat mempunyai jangka hayat sehingga 86.7 hingga 87.8 tahun dan lelaki pula sehingga 85.2 hingga 86.8 tahun.

Mereka yang berjalan perlahan pula menunjukkan mempunyai jangka hayat sehingga 72.4 tahun bagi wanita dan lelaki sehingga 64.8 tahun, jika mereka bergerak dengan lebih santai.

Menurut kajian yang diterbitkan minggu lalu dalam jurnal Mayo Clinic Proceedings nisbah itu dianggap benar walaupun pejalan kaki cepat mempunyai berat badan berlebihan.

Namun ia bukan bermakna pejalan kaki cepat akan hidup lebih lama kerana laporan itu hanya membuktikan hubungan, bukan sebab dan akibat.

Bagaimanapun, menurut pakar, kelajuan berjalan boleh dijadikan satu cara bagi doktor menilai kesihatan umum pesakit mereka bersama-sama ujian lain.

Ia bukanlah kajian pertama kerana pada 2011, Jurnal Persatuan Perubatan Amerika (JAMA) menerbitkan satu kajian oleh profesor perubatan geriatrik, Stephanie Studenski dari Universiti Pittsburgh mendapati kelajuan berjalan adalah peramal jangka hayat yang boleh dipercayai.

Tom Yates, profesor kegiatan fizikal di Leicester menerbitkan penemuan mengenai jangka hayat itu selama bertahun-tahun.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 9:12am
d