global

Mahu buang ginjal tersilap buang limpa

Oleh Agensi

HONG KONG: Seorang wanita yang menjalani pembedahan membuang buah pinggang yang rosak di sebuah hospital swasta di sini, terkejut apabila mendapati doktor tersilap membuang limpanya.

Jabatan Kesihatan memberitahu, pesakit berusia 57 tahun itu menjalani pembedahan di Hospital St Paul di Causeway Bay yang dilakukan oleh seorang doktor pelawat pada 25 Mac lalu.

Bagaimanapun, jurucakap hospital itu memberitahu, ujian kemudiannya mendapati organ pesakit yang dibuang adalah limpa yang berada bersebelahan dengan buah pinggang.

Menurut South China Morning Post, wanita itu dibenarkan pulang pada 16 April lalu.

“Siasatan menunjukkan semua pemeriksaan sebelum pembedahan dijalankan mengikut standard ditetapkan,” kata jurucakap itu yang memberitahu doktor itu kini digantung tugas.

Jurucakap Jabatan Kesihatan berkata, siasatan dan laporan menunjukkan hospital swasta itu tidak melanggar sebarang etika serta peraturan yang ditetapkan.

“Kes ini berkaitan dengan prestasi profesional doktor bedah itu dan jabatan mengarahkan hospital menghantar laporan kepada Jawatan Kuasa Penasihat Perubatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pakar urologi Dr Kenneth Fu Kam-fung berkata, dia tidak pernah melihat kesilapan itu berlaku di Hong Kong dan ia tidak boleh diterima kerana perbezaan ketara antara buah pinggang dan limpa.

Dia membuat spekulasi mungkin ada situasi yang jarang terjadi berlaku seperti organ berkenaan berbelit atau pendarahan teruk yang menghalang penglihatan pakar bedah.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 9:16am
d