global

Nak udara segar

Oleh Agensi

SEORANG lelaki ditahan polis kerana cuba memecahkan cermin pintu kereta api laju menggunakan alat tukul kecemasan semata-mata ingin mendapatkan udara segar disebabkan rasa tidak sihat.

Kejadian berlaku ketika dia yang menaiki kereta api yang dalam perjalanan dari Shanghai ke Beijing, terkandas selama setengah jam di stesen utama di Jinan, wilayah Shandong akibat masalah teknikal, Selasa minggu lalu.

Lelaki berusia 30 tahun dikenali dengan nama keluarga Xu itu berkata, dia sebelum itu meminum arak dan berasa kurang sihat menyebabkan dia cuba mendapatkan udara segar, katanya yang dipetik Radio Kebangsaan China.

Xu berkata, dia berasa rimas dan hilang sabar kerana menunggu lama di stesen terbabit sebelum bertindak nekad untuk memecahkan cermin selepas gagal membuka pintu, lapor South China Morning Post.

Rakaman daripada kamera pengawasan menunjukkan lelaki terbabit berusaha menarik pemegang pintu sebelum mengetuk cermin itu dengan alat tukul kecemasan yang digantung pada dinding.

Kakitangan yang menyedarinya terus menghalangnya sebelum ditahan sebaik kereta api tiba di Beijing.

“Saya hanya pecahkan cermin sekali dan menganggap ia akan membolehkan udara masuk.

“Saya berasa tidak sihat ketika itu dan minum arak ketika waktu makan tengah hari. Saya melakukannya secara spontan,” katanya.

Dia ditahan atas kesalahan dengan sengaja merosakkan harta awam yang boleh menyebabkannya dihukum penjara hingga tiga tahun.

Kejadian itu berlaku beberapa bulan selepas seorang wanita dilaporkan cuba memecahkan cermin tingkap kereta api yang bergerak dari Beijing ke Qingdao akibat bertelingkah dengan teman lelakinya, lapor media tempatan.

Dia kemudiannya didakwa melakukan kerosakan jenayah dan dihukum penjara lima hari di pusat tahanan.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 9:25am
d