global

Huawei bakal disekat guna Android

Oleh Reuters

New York: Syarikat gergasi teknologi, Google dilaporkan menggantung perniagaannya dengan Huawei yang memerlukan pemindahan perkakasan, perisian dan servis teknikal kecuali sumber awam melalui lesen terbuka, kata sumber kepada Reuters semalam.

Perkembangan terbaru itu memberi tamparan kepada syarikat teknologi China itu selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) berusaha mengharamkan produknya di seluruh dunia.

Jurucakap Google berkata, syarikat itu mematuhi arahan berkenaan dan melihat aplikasinya.

Bagaimanapun, jurucakap itu tidak menjelaskan secara terperinci.

Langkah itu mungkin menjejaskan perniagaan telefon pintar Huawei di luar China kerana syarikat itu kemungkinan dihalang daripada mengakses sistem operasi Android milik Google.

Pengguna telefon pintar Huawei yang menggunakan sistem operasi Android juga bakal tidak boleh menggunakan perkhidmatan popular Google seperti Play Store, Gmail dan YouTube.

“Pengguna Huawei hanya boleh menggunakan versi terbuka Android dan tidak boleh mendapatkan akses ke aplikasi serta perkhidmatan Google,” kata sumber itu.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menambah Huawei Technologies Co Ltd dalam senarai hitam perdagangan yang menyebabkan sangat sukar untuk syarikat itu menjalankan perniagaan dengan rakan niaga dari AS.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 5:36pm
d