global

Marah kena tinggal

Oleh Agensi

TEXAS: Seorang lelaki berusia 37 tahun menembak dua rakannya hingga kritikal hanya kerana mangsa dikatakan tidak mengajaknya berjalan-jalan, dalam kejadian di Texas, Amerika Syarikat.

CBS Dallas-Fort Worth melaporkan, kejadian dipercayai berlaku pada Khamis lalu apabila suspek, Donald Benavidez bersemuka dengan dua rakannya itu di luar sebuah kedai sewa audio video di Barat Dallas.

Beberapa saksi memberitahu polis, suspek yang sudah ditahan itu datang berjumpa dengan rakannya yang bekerja di kedai berkenaan dan berbincang di luar sebelum berlaku pertengkaran.

Polis berkata, suspek kemudiannya terus melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mangsa namun ia sempat dihalang oleh seorang individu tidak dikenali yang kebetulan berada di dalam kedai.

Dia yang turut memiliki senjata terus keluar dan menembak suspek, menyebabkan Benadivez bergegas cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta sedan Subaru berwarna biru, lapor CBS News.

Bagaimanapun, dia berjaya ditahan polis selepas itu ketika cuba menyembunyikan diri di sebuah hotel.

Mangsa yang terkena beberapa tembakan dilaporkan kritikal namun kini sedang pulih selepas menerima rawatan di hospital.

Jurucakap polis, Sarjan Warren Mitchell berkata, pihaknya percaya ia dianggap sebagai kes terpencil.

“Suspek bukanlah memilih tempat ini dan terus melepaskan tembakan. Dia memang dikenali di sini. Kejadian amat mengejutkan namun orang ramai tidak perlu bimbang,” katanya.

Benavidez kini ditahan dengan bon berjumlah AS$ 200,000 (RM 835,317), dan berdepan dua dakwaan melakukan serangan bersenjata, lapor Dallas Morning News.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 8:32am
d