global

Guna bom 'Ibu Syaitan' hasil kepakaran Daesh

Oleh AFP

COLOMBO: Sebulan selepas serangan berani mati di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 250 orang, penyiasat mendedahkan pengebom menggunakan bom ‘Ibu Syaitan’ iaitu bahan letupan yang sering digunakan kumpulan militan Daesh.

Bom yang diletupkan pada 21 April lalu di tiga gereja dan tiga hotel di Sri Lanka dihasilkan oleh militan National Thowheeth Jama’ath (NTJ), tetapi berdasarkan kepakaran Daesh, kata penyiasat.

Kaitan itu diketahui selepas siasatan mendapati kesan triacetone triperoxide atau TATP ada di lokasi serangan.

“Kumpulan itu mempunyai akses mudah kepada kimia dan baja untuk mendapatkan bahan mentah menghasilkan TATP.

“Mereka mengadakan pertemuan untuk memindahkan teknologi itu. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan hanya menonton video YouTube,” kata seorang pegawai penyiasat kepada AFP.

Bahan berkenaan turut digunakan dalam beberapa serangan didakwa Daesh termasuk di Paris pada 2015 dan di Manchester Arena di England pada 2017.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 11:46am
d