global

Lelong kereta kartel dadah bantu golongan miskin

Oleh Agensi

MEXICO CITY: Kerajaan Mexico akan melelong kereta mewah, rumah dan barangan lain yang dirampas daripada penjenayah serta sekurang-kurangnya seorang bekas ahli politik dalam program ala ‘Robin Hood’ bertujuan menggunakan jutaan dolar yang dijangka bakal diperoleh daripada proses itu untuk membantu golongan miskin.

AFP melaporkan, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berkata, hasil jualan 82 kereta mewah yang turut termasuk Lamborghini Murcielago, tiga Porsches dan puluhan kereta kebal akan digunakan membantu masyarakat miskin.

Sesi lelongan pertama dijadualkan pada Ahad ini membabitkan 77 kereta dengan harga permulaan keseluruhan kira-kira AS$1.5 juta (RM6.2 juta), lapor Reuters.

Lelongan akan dikendalikan badan baru dilancarkan kerajaan, ‘Institut untuk Memulangkan Apa Dirompak daripada Rakyat,’ kata Obrador dalam satu sidang media.

“Semua barangan yang dirampas (daripada penjenayah) akan disalurkan kepada masyarakat, khususnya golongan miskin,” katanya.

Obrador, 65, mengangkat sumpah Disember lalu dengan berjanji akan mengubah negaranya yang semakin muak dengan jenayah serta rasuah.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 9:34pm
d