global

Lelaki dipercayai dalang skim Ponzi dipenjara 50 tahun

Oleh Reuters

NEVADA (Amerika Syarikat): Seorang ahli perniagaan dijatuhkan hukuman penjara 50 tahun oleh mahkamah persekutuan Nevada selepas disabitkan dengan kesalahan menipu penduduk Jepun menerusi skim Ponzi berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.2 bilion).

Reuters melaporkan, bekas ketua eksekutif MRI International Inc, Edwin Fujinaga, 72, dijatuhkan hukuman itu oleh Ketua Hakim, Gloria Navarro susulan sabitan pada November lalu terhadap 20 tuduhan penipuan mel, penipuan atas talian dan pengubahan wang haram.

Dia turut diarahkan membayar denda sebanyak AS$813.3 juta (RM3.4 bilion) dan menyerahkan semula wang berjumlah AS$1.13 bilion (RM4.73 bilion), kata Jabatan Keadilan.

Pendakwa Raya yang menyifatkan lelaki itu sebagai dalang utama skim Ponzi sebelum itu memohon hukuman penjara 50 tahun manakala peguam yang mewakilinya berkata, lima tahun sudah memadai atas faktor usia dan kesihatan defendan.

Fujinaga dan rakannya yang menjalankan perniagaan sebagai syarikat operator bil perubatan, berjanji kepada pelabur mereka akan membayar bil perubatan pesakit daripada syarikat perubatan pada harga diskaun dan menebus nilai penuh daripada syarikat insurans, kata pendakwa raya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 12:42pm
d