global

Tahanan Pakistan di Malaysia dibebaskan sambut Aidilfitri

Oleh AFP

ISLAMABAD: Seramai 315 warga Pakistan yang berada di kem tahanan di Malaysia walaupun sudah menamatkan hukuman penjara akan pulang ke negara mereka pada 29 Mei ini selepas menerima bantuan kewangan dan perundangan dari kerajaan Pakistan.

“Kerajaan akan menanggung semua kos penghantaran balik mereka.

“Syukur kepada Yang Maha Kuasa, 315 tahanan Pakistan yang tidak mampu membeli tiket penerbangan akan menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka di Pakistan,” kata Pembantu Khas kepada Perdana Menteri mengenai rakyat Pakistan di luar negara dan Pembangunan Sumber Manusia, Sayed Zulfikar Abbas Bukhari.

Kata Zulfikar, pujian harus diberikan kepada Perdana Menteri, Imran Khan yang mengarahkan tindakan segera dalam hal itu.

Katanya, sebaik menerima maklumat mengenai tahanan Pakistan yang terkandas di Malaysia walaupun sudah menamatkan tempoh hukuman, dia membawa perkara itu ke pengetahuan Kabinet.

Atas permintaannya, Khan mengarahkan Baitulmal dan Kementerian Luar untuk menyalurkan Rs40 juta (RM1.1 juta) dan Rs10 juta (RM276,556) untuk membawa pulang rakyat Pakistan.

Kabinet menugaskannya untuk memastikan kepulangan warga Pakistan dengan selamat sebelum Aidilfitri.

Pegawai Yayasan Rakyat Pakistan Luar Negara (OPF) dan Atase Komuniti Kebajikan di Malaysia sentiasa berhubung dengan pihak berkenaan untuk mempercepatkan proses kepulangan mereka.

Banduan akan diterbangkan dengan pesawat Boeing 777 Pakistan International Airlines dan OPF sudah menandatangani perjanjian dengan syarikat penerbangan berkaitan hal itu.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 12:31pm
d