global

Emma korban wasiat

Oleh Agensi

CHESTERFIELD, AMERIKA SYARIKAT: Seekor anjing comel dan sihat dimatikan menggunakan suntikan beracun baru-baru ini selepas pemiliknya membuat wasiat mahu haiwan kesayangannya itu dikebumikan bersamanya apabila dia meninggal dunia nanti.

Tidak lama wanita itu meninggal dunia, anjing berkenaan yang dikenali sebagai Emma dibawa ke Pusat Perlindungan Haiwan di Chesterfield, Virginia untuk ditahan selama dua minggu.

Petugas di situ cuba menyelamatkan anjing berkenaan dan memberitahu keluarga wanita itu bahawa haiwan berkenaan boleh diserahkan kepada keluarga lain untuk dijaga.

Bagaimanapun, keluarga wanita itu enggan menyerahkan anjing berkenaan dan pada 22 Mac lalu haiwan comel itu dimatikan dengan suntikan beracun.

Selepas anjing itu mati, ia kemudian dibakar sebelum abu bangkai haiwan itu diletakkan dalam bekas dan ditanam di kubur pemiliknya sama seperti yang diwasiatkan wanita itu.

“Kami beberapa kali memberi cadangan supaya anjing itu diserahkan kepada kami kerana dengan mudah haiwan comel itu mendapat pemilik baru.

“Tetapi mereka tidak bersetuju dan mengambil anjing itu untuk dimatikan,” kata pengurus pusat perlindungan haiwan, Carrie Jones.

Di beberapa negeri di Amerika Syarikat, haiwan kesayangan dianggap sebagai harta persendirian yang menyebabkan ia sah mengikut undang-undang untuk dimatikan dengan kebenaran pemiliknya walaupun dia sudah meninggal dunia.

Tidak semua negeri juga membenarkan haiwan kesayangan dikebumikan bersama pemiliknya tetapi di beberapa negeri termasuk Virginia, ia adalah satu amalan biasa.

“Ini adalah satu contoh pembunuhan yang sangat tidak perlu terhadap seekor anjing yang sihat. Ia mungkin boleh hidup dengan gembira bersama keluarga barunya,” kata pegawai di Dana Perlindungan Undang-Undang Haiwan, Amanda Howell.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 8:16am
d