global

Sesat dua minggu

Oleh Agensi

HONOLULU: Seorang jurulatih yoga berusia 35 tahun ditemui selamat selepas tersesat selama dua minggu di hutan simpan di Maui, Hawaii dengan bergantung kepada tumbuhan dan air untuk terus hidup.

News.com.au yang memetik New York Post melaporkan, Amanda Eller ditemui Jumaat lalu, selepas 16 hari hilang ketika mendaki Hutan Simpan Makawao di Maui.

Keretanya ditemui di laluan mendaki dengan kuncinya tersembunyi di bawah tayar hadapan pemandu. Amanda juga pergi mendaki tanpa membawa telefon.

Ratusan sukarelawan menyertai operasi mencari wanita dari Maryland itu termasuk menggunakan anjing pengesan, helikopter dan drone.

Dia ditemui berdekatan anak sungai antara dua air terjun oleh kru helikopter, diketuai oleh bekas pegawai Operasi Khas Penerbangan Ranger, Javier Cantellops, lapor Honolulu Star Advertiser.

Keluarganya turut meminta penyelam dan pemburu berpengalaman untuk membantu mencari wanita itu yang hilang di hutan padat berkenaan.

Mereka yakin Amanda mampu bertahan kerana hutan berkenaan mempunyai banyak sumber air dan makanan.

Ketika ditemui, berat badan Amanda dilaporkan susut sebanyak tujuh kilogram dan dia juga mengalami retak pada kakinya akibat terjatuh.

Keluarga Amanda sebelum ini mengesyaki wanita itu menjadi mangsa penjenayah dan tersesat selepas melarikan diri ke dalam hutan.

“Kemungkinan Amanda tersesat atau cedera di dalam hutan ini. Mungkin dia ditahan seseorang di tempat letak kereta dan lari ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada sebuah akhbar.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 8:26am
d