global

Rumah baru Rooney macam Tesco

Oleh Agensi

LONDON: Rumah agam baru bintang bola sepak Wayne Rooney bernilai RM106.19 juta di Cheshire disamakan dengan pasar raya Tesco oleh peminat di media sosial.

Kerja pengubahsuaian ke atas kediaman seluas 16.18 hektar itu dilakukan sejak dua tahun lalu dan gambar terbaru menunjukkan ia hampir siap.

Bagaimanapun, segelintir pengguna media sosial berpendapat reka bentuk rumah dilengkapi pawagam kecil itu menyerupai pasar raya Tesco dan Morrisons.

Malah, ada membandingkan rumah itu dengan hotel Travelodge, lapor Daily Mail.

Kediaman itu dilaporkan dilengkapi enam bilik, enam garaj kereta, kandang untuk 15 ekor kuda, kolam renang tertutup dan sebuah padang bola sepak.

Rooney, 34, kini bermain dengan DC United di Washington, Amerika Syarikat.

Bapa kepada empat cahaya mata itu membahagikan masa berulang-alik dari Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk bersama keluarga.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 11:54pm
d