global

Sorok 1.2 kg dadah dalam kemaluan, perut

Oleh Agensi

TANGERANG: Seorang wanita dari Gambia, Afrika Barat ditahan kerana menyeludup 1.2 kilogram dadah jenis Methamphetamine yang disorok dalam kemaluan dan perutnya, baru-baru ini.

Wanita berusia 35 itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kompas, pada mulanya, penumpang yang menaiki penerbangan dari Dubai itu melepasi pemeriksaan kastam.

Bagaimanapun, pemeriksaan badan menemui satu pil besar mengandungi kristal jernih di dalam kemaluan wanita itu dan beberapa kapsul berisi Methamphetamine dalam perutnya.

Wanita itu dipercayai membawa dadah terbabit dari Gambia ke Senegal menerusi pengangkutan darat sebelum menaiki kapal terbang ke Indonesia.

Dia menerima arahan dari individu tertentu di Gambia untuk pergi ke Hotel Bintang Griya di Jakarta.

Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau dipenjara sehingga 20 tahun.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 12:08am
d