global

Bekas datuk bandar mengaku tembak isteri

Oleh Agensi

TEHERAN: Bekas Datuk Bandar Teheran mengaku menembak mati isteri keduanya selepas menyerah diri kepada polis kelmarin.

Mohammad Ali Najafi, 67, yang dihadapkan ke Mahkamah Jenayah untuk dituduh semalam, ditahan kelmarin ketika datang ke balai polis di Teheran untuk membuat pengakuan menembak isteri mudanya, Mitra Ostad, selepas berlaku pertengkaran.

Menurut laporan media, mayat Mitra, 35, ditemui dalam bilik mandi sebuah apartmen di utara Iran dengan dua kesan tembakan pistol iaitu pada dada serta lengan. Lima tembakan dilepaskan dalam kejadian.

Najafi yang pernah menjadi menteri sains dan pendidikan sebelum menjadi Datuk Bandar Teheran pada 2017 adalah lulusan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Washington Post melaporkan, televisyen Iran menunjukkan beliau berada di balai polis dengan tangan bergari.

Al Jazeera melaporkan, dalam keterangannya semalam, Najafi berkata, beliau sudah beberapa kali mahu menceraikan Mitra yang dikahwininya tahun lalu selepas meletak jawatan sebagai datuk bandar, namun wanita itu enggan.

“Isteri kedua saya itu sering mengancam mahu memusnahkan kehidupan isteri pertama dan anak perempuan kami serta hidup saya dengan berlaku curang,” katanya.

Menurut Najafi, dia menggunakan pistol bagi menakut-nakutkan wanita itu dan menamatkan pertengkaran mereka.

“Kami bertengkar dan saya menunjukkan pistol bagi menakutkannya ketika dia hendak mandi.

“Mitra panik dan bergelut dengan saya bagi merampas pistol menyebabkan saya tertarik picu,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 9:47am
d