global

Tambang teksi tak masuk akal

Oleh Agensi

HONG KONG: Pemandu teksi di negara ini dikesan mengenakan bayaran tambang tidak masuk akal sehingga mencecah HK$100 (RM53) bagi jarak satu kilometer.

Kegiatan itu terbongkar selepas beberapa pegawai polis yang menyamar sebagai pengunjung kelab malam di kawasan hiburan Lan Kwai Fong menahan seorang pemandu teksi, hari ini.

South China Morning Post melaporkan, pemandu berusia 49 tahun itu meminta bayaran HK$100 daripada pegawai berkenaan untuk perjalanan sejauh satu kilometer.

Jumlah itu dikatakan tiga kali ganda tinggi daripada bayaran biasa sebanyak HK$24 (RM12.82).

Pegawai berkenaan menaiki teksi terbabit di jalan D’Aguilar ke Holiday Inn Express Hong Kong SoHo di jalan Jervois pada jam 1 pagi.

Selepas tiba di lokasi dan membayar tambang, pegawai itu memperkenalkan diri sebagai polis dan menahan pemandu terbabit kerana mengenakan bayaran tambang melampau.

Sekiranya didapati bersalah, pemandu itu boleh berdepan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak HK$10,000 (RM5,341).

Tempat tumpuan pelancong seperti terminal Peak Tram di Sentral dan kawasan beli-belah Tsim Sha Tsui antara lokasi pemandu teksi tidak bertauliah beroperasi, kata jurucakap polis.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 9:25pm
d