global

Gumpalan rambut dalam perut

Oleh Agensi

MOSCOW: Sekumpulan doktor di sebuah hospital di Russia mengeluarkan gumpalan rambut seberat 0.5 kilogram dari perut seorang remaja berusia 16 tahun yang ketagihan memakan rambutnya sendiri.

Mail Online melaporkan, remaja dari Tomsk di Siberia menghidap sindrom Rapunzel yang menyebabkan penghidapnya ketagih untuk memakan rambut.

Remaja itu dilaporkan menghidap ketagihan pelik itu sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan berat badannya menurun.

Dia dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat sakit perut dan apabila pemeriksaan dilakukan doktor terkejut apabila melihat perutnya dipenuhi gumpalan rambut.

Doktor Andrey Karavaev berkata, 80 peratus perut remaja itu dipenuhi gumpalan rambut dan ia mengancam kesihatan kerana berisiko tersumbat.

“Remaja itu segera menjalani pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan gumpalan rambut dari perutnya.

“Remaja itu semakin pulih selepas pembedahan dan kesihatannya bertambah baik,” katanya.

Ujarnya, perut manusia tidak mampu hadam rambut menyebabkan ia berkumpul.

Tambahnya, remaja itu yang tidak dedahkan identitinya memerlukan rawatan pakar psikologi untuk menghentikan ketagihan berkenaan.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 7:49am
d