global

29 cedera, kem pelarian terbakar di Bosnia

Oleh Reuters

SARAJEVO: Seramai 29 orang dilaporkan cedera dalam kebakaran yang tercetus awal pagi tadi di kem pelarian di bandar Velika Kladusa, barat daya Bosnia, kata polis.

Jurucakap polis tempatan, Ale Siljdedic berkata, mangsa cedera dibawa ke hospital di Velika Kladusa dan Bihac selepas kebakaran di kem Miral yang digunakan sebagai tempat tinggal sementara untuk 500 pelarian.

“Pasukan bomba berada di lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan siasatan mengenai punca kebakaran itu akan dibuat,” katanya.

Rakaman video di media sosial menunjukkan beberapa orang yang panik melompat keluar dari tingkap kem itu.

Menurut agensi keselamatan Bosnia, kira-kira 25,000 orang dari Asia dan Afrika Utara memasuki Bosnia dari Serbia dan Montenegro pada tahun lalu dan kira-kira 6,000 orang sudah tiba di negara Balkan.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 6:59pm
d