global

Salah lapor punya pasal

Oleh AFP

AMSTERDAM: Gara-gara laporan berita tidak tepat, sebuah klinik euthanasia di Belanda menerima banyak panggilan luar negara dari individu yang mahu menamatkan nyawa mereka.

Sebelum ini, media melaporkan klinik Levenseindekliniek di The Hague membantu remaja Noa Pothoven yang menderita masalah mental akibat dirogol ketika kecil untuk bunuh diri.

Keluarga dan kerajaan Belanda mengesahkan gadis berusia 17 tahun itu sebenarnya meninggal dunia selepas enggan makan dan minum.

Susulan kesilapan laporan itu, Levenseindekliniek yang adalah satu-satunya klinik euthanasia di Belanda menerima 25 permintaan dari luar negara.

Biarpun euthnasia dibenarkan di Belanda, Pengarah Urusan Levenseindekliniek, Steven Pleiter berkata orang asing tidak boleh sewenang-wenangnya ke negara itu untuk mendapatkan bantuan bunuh diri.

Pleiter menjelaskan pihaknya terpaksa menolak permintaan Noa untuk membantunya bunuh diri kerana masih di bawah umur.

"Noa mengambil keputusan untuk menamatkan nyawanya dengan tidak makan dan minum. Klinik ini tidak pernah memberi euthanasia kepadanya," katanya.

Mengikut undang-undang Belanda, kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga untuk diberi euthanasia.

Ibu bapa perlu terbabit dalam proses euthanasia bagi remaja berusia 16 dan 17 tahun, manakala rakyat Belanda berusia 18 tahun ke atas boleh membuat permohonan untuk bantuan bunuh diri.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 1:20pm
d