global

Kalau dah cinta

Oleh Agensi

LONDON: Seorang ibu tunggal di United Kingdom berjaya mengubah hidup lelaki gelandangan selepas dia dijemput ke rumah wanita itu untuk mandi, gunting rambut dan menikmati ayam panggang bersama-sama.

Ia bermula selepas Katie Nicol, 38, bertemu Jon Haynes, 31, gelandangan yang kini teman hidupnya ketika Haynes tinggal di dalam khemah berdekatan pantai Cleethorpes di Lincolnshire pada Jun lalu, lapor Metro.co.uk.

Selepas dua bulan berkenalan, Katie menjemputnya ke rumah untuk menikmati makan malam.

“Saya tidak berasa bimbang apabila dia datang ke rumah kerana saya boleh mempercayainya dengan segera.

“Selepas ditanya apa yang mahu dijamahnya, dia berkata ayam panggang dan mengaku sudah tidak lalu makan sosej kerana sering mendapatnya sejak 18 bulan sebelumnya.

“Dia begitu ikhlas dan mahu mengubah hidupnya, jadi kami memutuskan agar sama-sama berusaha ke arah itu,” kata Katie.

Haynes yang menjadi gelandangan sejak 18 bulan lalu turut menagih heroin dan dadah jenis halusinogenik. Dia juga pernah dipenjarakan lebih dua tahun setengah selepas menyerang dan mencederakan seorang lelaki yang ditemuinya tidur bersama bekas teman wanitanya.

Menurut Haynes, Katie banyak membantunya agar tidak ketagih pada dadah malah dia kini mempunyai tempat tinggal dan bekerja sebagai tukang kebun, sambil berkata: “Dia banyak membantu saya dalam pelbagai cara.”

Katie berkata, tidak semua orang menyokong hubungan mereka.

“Rakan saya sebahagian besar menyokong hubungan kami, namun ada yang tidak boleh menerimanya.

“Malah, pada saya, berkenalan dengan orang di Tinder jauh lebih berbahaya berbanding apa yang kami lakukan, iaitu duduk bersembang dan benar-benar berkenalan selama empat bulan,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 10:10am
d