global

Ratusan bantah pelan ekstradisi Hong Kong

Oleh AFP

VANCOUVER: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat China di Vancouver semalam membantah rancangan kontroversi untuk membenarkan ekstradisi dari Hong Kong ke tanah besar China.

“Pindaan ini akan menjejaskan jutaan penduduk, bukan saja di Hong Kong malah di seluruh dunia,” kata penganjur protes, Mabel Tung yang juga pengerusi Persatuan Vancouver dalam Menyokong Pergerakan Demokratik.

Tung berhijrah ke Kanada dari Hong Kong 40 tahun lalu dan berjuang menentang perlanggaran hak kemanusiaan di China, bimbang aktivis sepertinya bakal berdepan risiko ekstradisi sebaik mereka transit melalui Hong Kong sekiranya rang undang-undang itu diluluskan.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dan payung kuning sebagai simbol mengenang kembali siri protes pro-demokrasi pada 2014 di Hong Kong dikenali sebagai ‘Pergerakan Payung’.

Beberapa penunjuk perasaan turut membawa sepanduk menggesa pembebasan dua warga Kanada, Michael Kovrig dan Michael Spavor yang ditahan di China susulan penahanan eksekutif kanan Huawei, Meng Wanzhou, Disember lalu.

Ribuan pendatang dari Hong Kong menetap di Vancouver pada 1980an dan 1990an kerana penyerahan semula pentadbiran Hong Kong dari Britain kepada China pada 1997.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 12:17pm
d