global

Buang anak tak mampu jaga

Oleh Agensi

BANGKOK: Akibat hidup miskin, seorang ibu anak lima nekad membuang bayi sendiri ke dalam tong sampah dan selamba meninggalkan tempat itu dengan menaiki motosikal, dalam kejadian di Thailand, Rabu lalu.

Mirror Online melaporkan, wanita berusia 29 tahun dikenali sebagai Waraporn itu dipercayai melahirkan bayinya pada Rabu lalu di rumahnya di Samut Prakan.

Sehari selepas itu, dia menaiki motosikal ke bandar berhampiran sambil mencari tong sampah untuk membuang bayinya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita itu membuang bayi yang disumbat dalam beg hitam berhampiran kawasan industri dan mangsa ditinggalkan dalam cuaca panas selama empat jam sebelum ditemui oleh pekerja pembersihan.

Pekerja terbabit kemudiannya memaklumkan polis dan penyelamat sebelum menghantar bayi terbabit ke hospital untuk rawatan.

Waraporn yang berjaya dikesan selepas itu mengaku dia membuang bayinya kerana terlalu miskin untuk membesarkan anaknya.

“Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu di wilayah lain. Dia memperoleh pendapatan sebanyak 10,000 baht (RM1,326) sebulan dan ia tidak cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 11:58pm
d