global

Helikopter terhempas di Manhattan

Oleh AFP

NEW YORK: Sebuah helikopter terhempas ketika cuba mendarat di atas sebuah bangunan pencakar langit di Manhattan semalam mengakibatkan seorang maut.

Perkhidmatan kecemasan dikerah ke bangunan 54 tingkat itu di Seventh Avenue apabila sebuah helikopter terhempas 10 minit selepas berlepas dari pangkalan helikopter di bandar berkenaan.

Menurut Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, jabatan bomba New York mengesahkan seorang terbunuh dipercayai juruterbang helikopter berkenaan.

“Syukur kerana tiada mangsa lain cedera setakat ini sama ada penumpang atau mereka yang di dalam bangunan dan di kawasan kejadian,” katanya.

Menurut pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat, hanya juruterbang sahaja berada di dalam helikopter berkenaan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata helikopter dalam nahas berkenaan dikenal pasti sebagai Agusta A109E dan berlaku kira-kira 1.45 petang (waktu tempatan).

“Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat dan menentukan punca sebenar nahas,” kata FAA di Twitter.

Rakaman video kemalangan itu menunjukkan kepulan asap di atas bangunan 54 tingkat itu.

Disiarkan pada: June 11, 2019 @ 10:41am
d