global

31 kanak-kanak maut kerana laici

Oleh AFP

PATNA, INDIA: Sekurang-kurangnya 31 kanak-kanak maut di utara India sejak 10 hari lalu akibat jangkitan otak dipercayai ada kaitan dengan sebatian toksik ditemui dalam buah laici.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu hari ini berkata, kematian dilaporkan dari dua hospital di daerah Muzaffarpur, Bihar, yang terkenal dengan dusun laici.

Pegawai kanan kesihatan, Ashok Kumar Singh, berkata semua kanak-kanak menunjukkan gejala Sindrom Ensefalitis Akut (AES) dan mengalami kehilangan glukos dalam darah secara tiba-tiba.

“Jabatan kesihatan menasihati orang ramai supaya menjaga anak-anak mereka ketika musim panas apabila suhu mencapai 40 darjah Celsius,” kata Singh.

Sekurang-kurangnya 40 kanak-kanak lain akibat gejala sama kini dirawat di unit rawatan rapi hospital terbabit.

“Kami cuba selamatkan mereka,” kata ketua pegawai perubatan Hospital dan Kolej Perubatan Sri Krishna, S P Singh.

Wabak penyakit itu berlaku setiap tahun ketika musim panas di Muzaffarpur dan daerah bersebelahan sejak 1995, biasanya dikaitkan dengan musim laici.

Dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai Chamki Bukhar, penyakit itu meragut 150 nyawa sejak 2014.

Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 6:54pm
d