global

Berbaris panjang demi makanan

Oleh Agensi

BOGOTA: Puluhan ribu rakyat Venezuela membanjiri bandar Colombia di sempadan negara itu bagi mendapatkan barangan keperluan, terutama makanan dan perubatan sejak Presiden Nicolas Maduro membuka kembali pintu sempadan Ahad lalu, selepas menutupnya selama empat bulan.

Orang ramai berbaris panjang di atas dua jambatan menghubungkan Venezuela dengan bandar Cucuta, menunggu dokumen mereka diperiksa pihak berkuasa Colombia dengan pengawal sempadan Venezuela yang berseragam hijau mengawal keadaan.

Februari lalu, Maduro mengarahkan pintu sempadan menghubungkan Venezuela dengan Aruba, Bonaire, Curacao, Brazil dan Colombia ditutup ketika pertubuhan bantuan dengan kerjasama pembangkang cuba mengedarkan makanan dan bekalan perubatan.

Sebahagian besar bantuan itu disediakan Amerika Syarikat, sekutu utama pemimpin pembangkang Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden kerajaan sementara Januari lalu.

Pada Mei, Maduro membuka kembali pintu sempadan dengan Aruba dan Brazil, namun Jambatan Antarabangsa Simon Bolivar dan Francisco de Paula Santander dengan Colombia kekal ditutup.

Venezuela, negara yang sebelum ini terkaya di Amerika Selatan melalui hasil minyaknya kini menghadapi krisis kemanusiaan yang buruk dengan inflasi sehingga 10 juta peratus, bekalan makanan dan keperluan asas, termasuk bekalan air dan elektrik serta bahan api hampir tiada langsung.

Menurut PBB, sekatan eksport minyak Venezuela oleh Amerika memburukkan lagi keadaan, memaksa 5,000 orang meninggalkan negara itu setiap hari.

Ketika pintu sempadan dengan Colombia dibuka Ahad lalu, wakil khas Suruhanjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Angelina Jolie melawat La Guajira, penempatan pelarian di sempadan Colombia-Venezuela.

Pelakon Hollywood itu bertemu dengan pekerja bantuan serta pelarian yang tinggal dalam khemah dibina PBB.

Menurut UNHCR, jumlah pelarian Venezuela yang memasuki Colombia meningkat kepada sejuta orang November lalu, tidak termasuk mereka yang melarikan diri ke negara jiran lain, termasuk Brazil.

Presiden Colombia Ivan Duque berikrar membuka pintu sempadan negaranya dengan Venezuela, malah bersedia memberi kerakyatan kepada ribuan kanak-kanak dari keluarga pelarian Venezuela yang dilahirkan di Colombia sebagai ‘bantuan kemanusiaan.’

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 9:29am
d