global

Pengganas Christchurch dijangka buat pengakuan esok

Oleh Reuters

WELLINGTON: Brenton Tarrant, pengganas kulit putih yang menembak mati 51 jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Mac lalu, dijangka membuat pengakuan dan berdepan tuduhan baru esok.

Reuters melaporkan, dia yang sudah dihadapkan ke mahkamah atas 50 tuduhan, akan didakwa mengikut akta keganasan iaitu kali pertama di New Zealand.

Kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Christchurch, Cameron Mander yang diedarkan kepada media minggu lalu menyatakan lelaki terbabit akan membuat pengakuan terhadap pertuduhan itu.

Ketika hadir di mahkamah 5 April lalu, dia tidak perlu membuat pengakuan selepas hakim memerintahkan lelaki terbabit menjalani ujian penilaian mental untuk menentukan sama ada dia waras untuk dibicarakan.

Dalam serangan yang disiarkan secara langsung di Facebook itu, Tarrant yang menggunakan beberapa raifal separuh automatik melepaskan tembakan di dua masjid ketika solat Jumaat pada 15 Mac lalu, menyebabkan 51 jemaah maut dan mencederakan berpuluh mangsa.

Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 12:32pm
d