global

Indonesia kerah 32,000 anggota kawal bicara Pilpres

Oleh Agensi

JAKARTA: Polis Indonesia akan mengerah 32,000 anggota untuk mengawal keamanan pada hari kes bantahan pilihan raya presiden (Pilpres) mula diperdengar di Mahkamah Perlembagaan yang difailkan calon presiden Prabowo Subianto, hari ini.

“Perbicaraan bermula pada 14 Jun sehingga 28 Jun, jadi kawalan keselamatan ketat akan diteruskan sehingga 28 Jun,” kata jurucakap polis Indonesia, Asep Adi Saputra, kelmarin.

Tempo melaporkan, Asep memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang kerana polis tidak merancang mengambil tindakan seperti ketika rusuhan di Jakarta pada 21 dan 22 Mei lalu.

Pada hujung Mei lalu, Prabowo dan calon naib presidennya Sandiaga Uno memfailkan bantahan pilihan raya presiden yang mengisytiharkan kemenangan Joko ‘Jokowi’ Widodo dan Ma’ruf Amin (naib presiden).

Prabowo mendakwa berlaku penipuan undi besar-besaran.

Rusuhan yang menyaksikan Jakarta berantakan selepas pengumuman kemenangan Jokowi bulan lalu, menyebabkan lapan terbunuh dan ratusan lagi cedera.

Beberapa jalan utama dihalang, pusat beli-belah, bangunan pejabat dan sekolah ditutup.

Kerajaan mengerahkan lebih 30,000 polis dan tentera bagi menangani rusuhan itu.

Menurut polis, majoriti penunjuk perasaan adalah dari luar Jakarta dan percaya rusuhan itu dirancang kerana sampul surat mengandungi wang ditemui pada peserta yang ditahan.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 9:13am
d