global

Diserang lagi

Oleh Agensi

DUBAI: Dua kapal tangki terbakar dipercayai diserang di Teluk Oman semalam, dengan ada laporan menyatakan akibat terkena torpedo dan periuk api.

Kapal tangki MT Front Altair didaftarkan di Norway dipercayai terkena bedilan torpedo menyebabkan berlaku tiga letupan sebelum terbakar dan 23 anak kapalnya terpaksa terjun ke laut sebelum diselamatkan tentera laut Iran.

“Apabila kapal itu terbakar, 23 anak kapalnya terjun ke laut dan diselamatkan kapal lain sebelum diserahkan kepada pasukan penyelamat Iran.

“Sejam kemudian, kira-kira jam 9.50 pagi (waktu tempatan), kapal kedua, Kokuka Courageous, milik syarikat Jepun terbakar.

“Saya mengesahkan kedua-dua kapal masih terapung, tidak tenggelam,” kata Robert Hvide Macleo iaitu Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pemilik kapal, Frontline kepada AFP.

Jumlah kru kedua-dua kapal ialah 44 orang dan menurut laporan agensi berita Iran, semuanya berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.

Kokuka Courageous yang membawa methanol dari Arab Saudi Arabia ke Singapura dilaporkan mengalami kebakaran dalam bilik enjin, dipercayai terlanggar periuk api.

Front Altair membawa 75,000 tan naphtha dari Emiriah Arab Besatu (UAE) ke Taiwan.

Ketika kejadian, kedua-dua kapal berada kira-kira 112 kilometer dari UAE dan 22 kilometer dari perairan Iran.

Kejadian itu membawa ketegangan terbaru di Teluk selepas dua kapal tangki Arab Saudi, satu kapal Norway dan satu UAE rosak akibat serangan yang belum diketahui puncanya di perairan UAE pada 12 Mei lalu.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 9:46am
d