global

Pengganas Christchurch mengaku tidak bersalah

Oleh AFP

CHRISTCHURCH: Lelaki yang dituduh menembak mati 51 jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Mac lalu, membuat pengakuan tidak bersalah hari ini atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai dan keganasan.

AFP melaporkan, Brenton Tarrant yang hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi rangkaian audio visual dari penjara berkeselamatan tinggi di Auckland, hanya membisu ketika peguamnya, Shane Tait memberitahu anak guamnya mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Dia yang mendakwa sebagai pelampau kulit putih itu didakwa dengan 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan melakukan aktiviti keganasan pada 15 Mac lalu.

Mahkamah turut diberitahu bahawa laporan kesihatan mental mendapati dia waras untuk dibicarakan atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand.

Kira-kira 80 mangsa yang terselamat bersama ahli keluarga mereka memenuhi galeri awam untuk melihat pengganas berusia 28 tahun itu di mahkamah.

Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 11:26am
d