global

Sayang bawa ke penjara

Oleh Agensi

NEW DELHI: Seorang ahli perniagaan India dipenjara seumur hidup gara-gara perbuatan bodohnya membuat ugutan palsu ingin merampas pesawat supaya isterinya yang bekerja di syarikat itu kehilangan kerja sekali gus membolehkan mereka meluangkan lebih masa bersama.

Oddity Central melaporkan, Birju Salla, 38, yang juga jutawan dijatuhkan hukuman itu baru-baru ini selepas dihadapkan ke mahkamah sejurus selepas kejadian yang berlaku di India pada Oktober 2017.

Salla yang berasal daripada keluarga kaya yang menjalankan perniagaan barangan kemas menjadi individu pertama dikenakan hukuman mengikut undang-undang tegas di bawah Akta Anti-Rampasan 2016.

Lelaki itu sudah mempunyai isteri dan anak serta dilaporkan berkahwin secara senyap-senyap dengan kekasihnya.

Lelaki terbabit memberitahu mahkamah, dia mencetak nota ugutan dan meninggalkan di dalam tandas pesawat Jet Airways supaya syarikat itu menutup operasi di New Delhi dan memberhentikan isterinya yang bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan.

Menurutnya, dia melakukan perbuatan itu supaya isterinya pulang ke Mumbai dan mereka dapat meluangkan lebih banyak masa bersama.

Kejadian itu berlaku ketika pesawat itu melakukan penerbangan dari Mumbai ke New Delhi, kata pendakwa raya.

Kru penerbangan yang menemui nota itu menghubungi juruterbang sebelum pendaratan cemas dilakukan di Ahmedabad.

Bagaimanapun, polis yang melakukan siasatan berasa curiga dengan kes itu apabila nota terbabit ditulis dalam bahasa Urdu.

Siasatan lanjut berjaya mengesan pelbagai bukti termasuk dakwat yang digunakan untuk mencetak nota itu didapati padan dengan dakwat pada pencetak di pejabatnya.

Banyak bukti ditemui mengaitkan lelaki itu dengan kes terbabit dan dia akhirnya mengaku melakukan ancaman palsu berkenaan.

Mengikut akta itu, hanya dua hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelaku sama ada penjara seumur hidup atau hukuman mati.

“Dia ditahan di penjara sejak Oktober 2017 dan mungkin dia sudah membiasakan diri kerana sedar ini akan berlaku. Ia tidak akan berlaku sekiranya dia tidak melakukan tindakan bodoh seperti ini,” kata peguamnya, Rohit Verma.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 8:51am
d