global

Mangsa rogol di Britain dibayar pampasan RM105

Oleh Agensi

LONDON: Parlimen Britain dikejutkan dengan kenyataan seorang Ahli Parlimen bahawa hukuman untuk jenayah rogol terlalu ringan dan ‘tidak masuk akal’ dengan ada perogol budak lelaki dihukum membayar pampasan hanya £20 (RM105) kepada mangsa.

Isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen parti Konservatif, Andrew Griffiths menerusi beberapa siri soalan bertulis kepada menteri kerajaan ketika perbahasan Parlimen, minggu lalu.

Menurutnya, dalam satu kes lagi, seorang remaja perempuan hanya menerima pampasan £100 (RM524) daripada perogol yang disabitkan hukuman oleh mahkamah.

“Pampasan sedemikian menyebabkan mangsa bertambah trauma,” katanya.

Daily Mail melaporkan, dua kes berkenaan antara 26 kes pesalah kes rogol yang dianggap mahkamah sebagai kes penderaan seksual yang serius, supaya membayar pampasan kepada mangsa.

Menurut Griffiths, seorang hakim pernah menetapkan pampasan £20 kepada kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa rogol.

Dalam kes berasingan, seorang pesalah cuma perlu membayar £250 (RM1,312) selepas didapati bersalah merogol kanak-kanak perempuan bawah 13 tahun.

Hanya enam kes menyaksikan pesalah diperintah membayar £1,000 (RM5,239) atau lebih kepada mangsa yang juga kanak-kanak.

Griffiths menganggap angka kes itu sebagai skandal besar dan mendesak kerajaan segera mengubah sistem agar hakim dapat memberi pampasan setimpal kepada mangsa.

Undang-undang jenayah United Kingdom menyatakan hakim boleh mempertimbangkan untuk mengenakan pampasan terhadap pesalah membabitkan kes kecederaan, kerugian atau kerosakan akibat kesalahan itu.

Tiada had bayaran untuk bayaran pampasan itu, namun mahkamah harus mengambil kira ‘kejahatan’ pesalah.

Setiap tahun, ribuan mangsa penderaan seksual kanak-kanak membuat tuntutan daripada kerajaan menerusi skim Pampasan Kecederaan Jenayah.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:07am
d