global

30 maut serangan bom bunuh diri

Oleh AFP

KANO, NIGERIA: Seramai 30 orang terbunuh manakala lebih 40 cedera dalam tiga serangan bom bunuh diri di timur laut Nigeria, semalam, lapor perkhidmatan kecemasan.

Tiga orang pengebom meletupkan bahan letupan di luar sebuah dewan di Konduga, 38 kilometer dari Maiduguri, Borno, ketika peminat bola sepak sedang menonton perlawanan di televisyen.

“Jumlah kematian setakat ini meningkat kepada 30 orang manakala lebih 40 orang cedera,” kata ketua operasi di Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri (SEMA), Usman Kachalla, hari ini.

Letupan pertama serangan berkenaan mengakibatkan 17 terbunuh manakala 17 lagi cedera dan berlaku sekitar 9 malam waktu tempatan, kata ketua kumpulan pertahanan diri di bandar itu, Ali Hassan.

“Pemilik dewan menghalang salah seorang pengebom berkenaan memasuki dewan sehingga berlaku pertelingkahan sebelum pengganas meletupkan diri.

“Sementara dua orang pengebom meletupkan bom pada dirinya di sebuah gerai teh yang sesak dengan orang awam,” kata Hassan.

Tambahnya, sebahagian besar mangsa letupan berada di luar pusat tontonan bola sepak.

Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 9:15pm
d