global

Pelajar dipenjara hina Putera Harry

Oleh AFP

LONDON: Seorang pelajar universiti yang melabel Putera Harry sebagai pengkhianat bangsa dan mencipta imej putera raja itu dengan pistol diacu ke kepalanya, dipenjara di Britain selama lebih empat tahun.

Michal Szewczuk, 19, memuat naik imej itu, yang juga menampilkan lambang swastika dalam blog Gab pada Ogos tahun lalu, sebulan selepas perkahwinan Putera Harry dengan pelakon kacukan Meghan Markle.

Lelaki itu turut menyelitkan perkataan ‘See Ya Later Race Traitor’ yang bermaksud ‘jumpa awak kemudian pengkhianat bangsa.’

Szewczuk mengaku bersalah atas dua tuduhan menggalak keganasan dan lima tuduhan pemilikan bahan pengganas, termasuk Manual Rintangan Putih dan manual Al-Qaeda.

Lelaki itu berpindah ke Britain dari Poland ketika berusia 10 tahun, dan kini tinggal di Leeds di utara England.

Seorang lagi lelaki, Oskar Dunn-Koczorowski,18, turut dihukum selepas mengaku dua tuduhan menggalakkan keganasan dalam laman sembang bersama Szewczuk.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 9:33pm
d