global

Cuba racun keluarga kerana wifi

Oleh Agensi

BANGKOK: Akibat ketagihan melampau terhadap permainan video, seorang lelaki cuba meracun keluarganya selepas bapa tirinya menutup wifi rumah mereka di Sisaket, Thailand, baru-baru ini.

Pada Khamis lalu, Sak Duanjan, 29, balik dalam keadaan mabuk dan bermain permainan video dengan kuat pada telefon pintarnya ketika ibu bapanya tidur.

Menurut Daily Mail, bapa tirinya Chakri Khamruang, 52, bertindak menutup wifi supaya lelaki itu berhenti mengganggu tidur mereka.

Pertengkaran kemudian tercetus antara dua beranak itu sehingga Khamruang terpaksa memukul Duanjan agar pemuda itu tersedar dari mabuk.

Keesokan hari, ibu Duanjan, Suban mendapati air perigi di rumah mereka dicemari racun rumput dipercayai dilakukan lelaki terbabit.

Wanita itu terkejut kerana tidak menyangka anak sendiri berniat membunuh keluarganya.

“Sekitar jam 2 pagi, saya ternampak dia turun ke bawah dan meletakkan sesuatu dalam balang. Ketika saya tanya apa dia lakukan, dia hanya mendiamkan diri dan terus masuk ke dalam bilik,” katanya.

Suban berkata, dia terpaksa melaporkan kejadian itu kepada polis dan mahu anaknya dihantar ke hospital untuk merawat masalah perlakuan ganas.

Disiarkan pada: June 18, 2019 @ 10:13pm
d