global

23 tahun gunting pembedahan dalam perut

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang wanita yang mengalami sakit perut sejak bertahun-tahun lalu terkejut apabila mendapati sebilah gunting pembedahan sepanjang enam inci tertinggal di dalam abdomennya selama 23 tahun.

Ezeta Gobeeva, 62, menjalani pembedahan ketika melahirkan anaknya di sebuah hospital di Russia, 23 tahun lalu dan gunting itu ditinggalkan doktor di dalam abdomennya.

Sejak itu Ezeta mengalami kesakitan dipercayai akibat masalah hati dan perlu makan ubat tahan sakit.

Akhirnya, wanita berasal dari Ossetia Utara itu mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan imbasan X-ray bagi mengetahui punca penyakit.

Memetik Daily Mail, juru X-ray pada mulanya menyangka Ezeta menyimpan gunting dalam koceknya sebelum menyedari alat itu berada dalam abdomen.

Ezeta berkata, dia menanggung kesakitan melampau sejak bertahun-tahun dan terpaksa makan ubat setiap malam.

Kementerian Kesihatan di wilayah Ossetia Utara-Alania memberitahu akhbar Komsomolskaya Pravda, kes itu dalam siasatan.

Pihak berkuasa akan membiayai sepenuhnya kos perubatan dan pembedahan selain membayar sejumlah pampasan kepada Ezeta.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 8:22am
d