global

Penulis dakwa dirogol Trump

Oleh AFP

WASHINGTON: Seorang penasihat kolumnis majalah fesyen Elle menerusi satu terbitan semalam, mendedahkan Presiden Donald Trump merogolnya dalam bilik persalinan sebuah pusat beli belah di New York lebih dua dekad lalu.

Trump kemudian mengeluarkan satu kenyataan mengatakan tidak pernah bertemu dengan E. Jean Carroll dan insiden itu tidak pernah berlaku.

Menurut Carroll, kejadian rogol itu berlaku sekitar 1995 atau 1996 ketika Trump adalah pemaju hartanah terkemuka manakala dia penulis majalah terkenal dan juga pengacara sebuah program televisyen.

Keterangan itu didedahkan Carroll dalam petikan buku terbarunya yang diterbitkan oleh majalah New York semalam.

Pendedahan itu menjadikan Carroll wanita ke-16 menuduh Trump melakukan salah laku seksual sebelum menjadi presiden Amerika Syarikat.

Carroll, 75, berkata dia bertembung dengan Trump di pusat beli-belah Bergdorf Goodman di Manhattan.

Menurutnya, pertemuan itu hanyalah mesra dan Trump meminta nasihat membeli pakaian dalam untuk wanita tidak dikenali.

Mereka dengan berseloroh mencadang masing-masing mencuba pakaian dalam itu.

“Sebaik bilik persalinan ditutup, Trump terus menerpa dan menolak saya ke dinding menyebabkan kepala saya terhantuk teruk. Dia mencium saya,” tulisnya.

Sambil menekannya ke dinding, Carroll berkata, Trump terus merogolnya dalam keadaan masih berpakaian sehingga dia berjaya menolaknya dan berlari keluar dari bilik persalinan itu.

Carroll tidak membuat laporan polis kerana bimbangkan akibatnya.

Wanita itu berkata dia tidak mendedahkan insiden terbabit lebih awal kerana takut menerima ancaman bunuh, diusir dari rumah, disingkir serta diseret dalam lumpur.

Trump membalas dengan mengatakan Carroll mahu mencari perhatian.

“Saya tidak pernah bertemu individu ini sepanjang hidup saya. Dia cuba menjual buku baru yang sepatutnya menunjukkan motivasi. Buku itu sepatutnya dijual di bahagian fiskyen,” kata Trump.

Presiden itu turut berkata, majalah New York adalah penerbitan yang hampir mati dan cuba menaikkan namanya dengan melaporkan berita palsu.

ends/

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 11:09am
d