global

Malaysia desak pelaku kekejaman Rohingya diadili

Oleh AFP

BANGKOK: Malaysia dalam sidang kemuncak ASEAN hari ini mendesak bahawa pelaku kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar perlu diheret ke muka pengadilan.

Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat negara itu sebaliknya secara rasmi melabelkan mereka sebagai ‘Bengalis’ iaitu nama pendek khusus untuk pendatang tanpa izin dari negara jiran, Bangladesh.

Operasi besar-besaran pihak tentera pada 2017 menyebabkan lebih 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan melalui pengalaman ngeri seperti diperkosa.

Penyiasat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemerintah tertinggi dibicarakan atas tuduhan melakukan penghapusan etnik.

Bagaimanapun, tentera Myanmar dan pemimpin de facto Aung San Suu Kyi mempertahankan tindakan itu sebagai perlu untuk menghalau militan Rohingya dari negeri Rakhine.

Menerusi perbincangan bersama rakan sejawat ASEAN, Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa pelaku kekejaman ke atas etnik Rohingya dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, penghantaran pulang pendatang dari kem pelarian yang padat penghuni di Bangladesh perlu turut mengambil kira taraf kerakyatan etnik Rohingya.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 9:24pm
d