global

Batal tembak poseidon AS

Oleh Agensi

TEHERAN: Iran menyatakan ia mampu menembak jatuh satu lagi pesawat pengintip Amerika Syarikat yang mengiringi dron pengintip RQ-4 Global Hawk namun tidak melakukannya kerana pesawat Boeing P-8 Poseidon itu membawa 35 anak kapal.

Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan pemerintah tentera udara Iran, Sardar Hajizadeh, mendakwa pesawat pengintip Boeing P-8 itu turut menceroboh ruang udara Iran ketika mengiringi dron peninjau terbabit.

Ketika sidang media di Teheran mempamerkan serpihan dron Amerika yang didakwa ditemui di perairan Iran kelmarin, beliau berkata, pesawat itu tidak diserang kerana ‘tujuan kami ialah memberi amaran kepada Amerika.’

“Bersama dron pengintip itu, pesawat P-8 Amerika juga menceroboh wilayah Iran dengan 35 anak kapal di dalamnya.

“Kami boleh menembaknya jatuh tetapi kami tidak melakukannya,” katanya yang dipetik Reuters.

AFP melaporkan, Hajizadeh berkata, pihaknya memberi dua kali amaran kepada dron terbabit sebelum menembaknya menggunakan peluru berpandu Khordad-3 buatan Iran.

Menurutnya, walaupun dron terbabit tiada pemandu tetapi ia mempunyai kemudahan menghantar amaran itu kepada pengendali namun tidak diendahkan.

“Dua kali kami memberi amaran namun dron berkenaan tidak mengubah haluannya,” katanya.

Kejadian menyebabkan Amerika hampir menyerang sekurang-kurangnya tiga sasaran di Iran namun Presiden Donald Trump membatalkannya pada saat akhir.

Reuters melaporkan, Trump berkata, beliau membatalkan serangan itu 10 minit sebelum pesawat dan kapal perang Amerika melancarkan serangan terhadap kemudahan radar dan peluru berpandu kerana boleh menyebabkan 150 terbunuh di Iran.

AFP melaporkan Trump berkata melalui Twitter: “Saya tanya berapa ramai akan mati. 150 orang tuan presiden, jawapan daripada seorang jeneral.”

Menurut Trump jumlah kematian itu tidak wajar bagi membalas dron tanpa pemandu yang ditembak Iran.

“Saya tidak mencari peperangan namun jika berlaku, ia akan menjadi peperangan yang tidak pernah anda lihat. Namun saya tidak mahukannya,” kata Trump dalam temuramah dengan NBC News.

Tindakan Trump membatalkan serangan itu menunjukkan beliau mahukan penyelesaian diplomatik bagi meredakan ketegangan di rantau berkenaan.

Sumber Iran menyatakan Trump melalui Oman memberi amaran kepada Teheran bahawa serangan akan berlaku namun beliau tidak mahukan peperangan tetapi rundingan. Washington turut memohon pertemuan tertutup dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iran berikrar mempertahankan wilayahnya dan Hajizadeh berkata, semua pangkalan tentera Amerika dan kapal perangnya di Teluk berada dalam jangkauan peluru berpandu Iran.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 7:51am
d