global

'Kelentong' baik punya

Oleh Agensi

PARIS: Seorang lelaki yang menggunakan topeng untuk menyamar sebagai menteri luar Perancis sebelum menipu berjuta-juta pound daripada jutawan terkenal kini ditahan dan didakwa di sebuah mahkamah di sini.

Mail Online melaporkan, Gilbert Chikli, 52, yang mempunyai kerakyatan Israel dan Perancis akhirnya diekstradisi dari Tel Aviv selepas melarikan diri dari pihak berkuasa selama empat tahun.

Dia dilaporkan menyamar sebagai menteri Perancis, Jean-Yves Le Drian dan menggunakan aplikasi sidang video Skype untuk menipu beberapa mangsa termasuk billionaire Britain, Aga Khan.

“Aga Khan sahaja ditipu £8 juta (RM42.25 juta),” kata sumber siasatan.

“Kebanyakan mangsa diberitahu wang itu diperlukan segera untuk membayar tebusan yang ditahan kumpulan militan,” jelasnya.

Menurutnya, kira-kira 150 individu menjadi mangsa penipuan yang dilakukan pada 2015 itu dengan sekurang-kurangnya £44.4 juta (RM234 juta) dicuri.

Walaupun Chikli kini direman dan dipenjara, terdapat kemungkinan wang berkenaan tidak dapat ditemui semula kerana dilapor disalurkan melalui akaun bank di Poland, Slovakia dan China.

Mangsa juga dijanjikan pingat Legion of Honour, anugerah awam tertinggi Perancis dan juga lawatan dengan menaiki jet peribadi ke Elysee Palace di Paris sebagai tanda terima kasih kerana membantu kerajaan.

Selain memakai topeng silikon wajah Le Drian, Chikli turut duduk di meja yang kelihatan seperti pejabat menteri lengkap dengan bendera Perancis dan gambar Presiden Francois Hollande ketika membuat panggilan video berkenaan.

Perancis secara rasminya tidak membayar wang tebusan, jadi Chikli memberitahu mangsanya bahawa wang itu perlu dibayar secara rahsia.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 10:15am
d