global

Kejam sungguh

Oleh Agensi

DUBLIN: Dua remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi pesalah termuda dalam sejarah Ireland didapati bersalah membunuh seorang gadis berusia 14 tahun selepas memujuknya ke rumah ladang terabai sebelum merogolnya dalam kejadian yang menggemparkan negara itu.

Dua remaja itu hanya digelar ‘Budak A’ dan ‘Budak B’ sepanjang perbicaraan pembunuhan Ana Kriegel untuk melindungi identiti mereka yang masih bawah umur. Hukuman mereka ditentukan pada 15 Julai ini.

Budak A turut didapati bersalah atas tuduhan serangan seksual terhadap mangsa yang mayatnya ditemui bogel dengan sesuatu dipercayai dawai atau tali di lehernya, di dalam rumah terabai di Lucan itu, tiga hari selepas dia dilaporkan hilang pada 14 Mei tahun lalu, lapor Daily Mail.

Menurut The Guardian, Budak B memujuk Ana keluar dari rumahnya atas alasan Budak A yang diminati gadis itu mahu menemuinya.

Rakaman kamera litar keselamatan tertutup (CCTV) menunjukkan Ana berjalan ke taman untuk ke rumah berkenaan bersama Budak B, manakala Budak A dilihat beberapa jam kemudian pada 5.30 petang berjalan terhincut-hincut dengan kesan darah pada pakaian dan mukanya.

Menurut keterangan Budak B, dia diperangkap Budak A apabila diminta memujuk Ana ke lokasi kematiannya. Budak B turut mengaku berada dalam rumah berkenaan dengan rakannya dan Ana, tetapi melarikan diri apabila Budak A mula merogol mangsa.

Pakar patologi Profesor Marie Cassidy dalam keterangannya di mahkamah berkata, mangsa mengalami 50 kecederaan manakala punca kematian akibat kesan hentakan dengan benda tumpul di kepala serta leher.

Mahkamah diberitahu, Ana yang diambil sebagai anak angkat dari Russia ketika masih kecil, sering menjadi mangsa buli sejak memasuki sekolah menengah disebabkan susuk tubuhnya yang jauh besar dan tinggi berbanding rakan seusia.

Dia juga dianggap pelik kerana mengalami masalah memori jangka pendek selain pendengaran dan penglihatan selepas pembedahan membuang tumor di kepalanya.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 7:20am
d