global

Khamenei sasaran terbaru sekatan AS

Oleh AFP

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan beberapa pegawai atasan tentera semalam.

Tindakan terbaru itu sekali gus menguatkan lagi tekanan terhadap negara yang diancam dengan ‘kemusnahan sepenuhnya’ oleh Presiden AS, Donald Trump jika ia mahu berperang.

Trump menyifatkan sekatan itu sebagai reaksi keras dan seimbang kepada tindakan provokatif Iran yang semakin memuncak.

Sambil mengulangi bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear, Trump berkata, kini terpulang kepada Tehran untuk berunding.

Republik Islam itu menegaskan ia tidak menghasilkan senjata nuklear.

“Kami tidak mahu konflik berlaku,” katanya, menambah sama ada sekatan berakhir esok atau mengambil masa lama bermula hari ini, bergantung kepada reaksi Iran,” kata Trump.

Perbendaharaan AS berkata, ia akan menyenaraihitamkan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, tokoh berhaluan sederhana dan arkitek utama perjanjian nuklear Iran 2015, dan lapan komander Pengawal Revolusi, mensasarkan aset bernilai berbilion dolar secara keseluruhan.

Ketegangan memuncak selepas Iran menembak jatuh dron pengintipan AS minggu lalu dan Trump pula membatalkan serangan balas pada saat akhir.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 11:18am
d