global

William tak kisah anak jadi gay

Oleh Reuters

LONDON: Putera William mengaku dia tidak keberatan dan menerima pilihan anak-anaknya jika mereka menjadi gay atau lesbian satu hari nanti, katanya hari ini.

Namun Duke of Cambridge itu mengaku dia tetap berasa khuatir di atas tekanan dan kebencian yang akan dihadapi anak-anaknya di masa depan kerana status diraja.

Putera William, 37, menduduki barisan kedua dalam takhta British dan bakal ditabal sebagai raja pada masa hadapan, mempunyai tiga anak hasil perkongsian bersama Kate iaitu George, 5, Charlotte, 4, dan Louis , 2.

“Ia sesuatu yang saya risaukan, bukan kerana bimbang mereka menjadi gay tetapi tekanan yang akan dihadapi dan bagaimana sukarnya kehidupan mereka nanti,” kata William dalam satu lawatan ke sebuah badan amal yang menyokong LGBTQ+ gelandangan muda.

Ditanya bagaimana perasaannya jika salah seorang daripada anak-anaknya menjadi gay, William berkata ia akan “baik-baik saja”.

Katanya, isu berkenaan adalah sesuatu yang mula difikirkannya sejak menjadi bapa.

“Ia terutamanya disebabkan keluarga dan kedudukan kami, membuatkan saya sedikit gementar.

“Saya menyokong sepenuhnya apa sahaja keputusan yang mereka buat tetapi ia juga membuatkan saya berasa bimbang dari sudut keibubapaan kerana banyak halangan, kata-kata bersifat kebencian, penganiayaan dan semua diskriminasi yang mungkin dihadapi,” katanya menjawab pertanyaan wartawan ketika membuat lawatan ke Albert Kennedy Trust (akt) di London sempena pembukaan pusat perkhidmatan baru. Lawatan berkenaan dibuat menjelang perbarisan tahunan Pride London di London dan bagi mengiktiraf ulang tahun ke-50 pemberontakan Stonewall. - Reuters

Disiarkan pada: June 27, 2019 @ 7:09pm
d