global

Ibu setan

Oleh Agensi

NEW MEXICO: Seorang wanita di sini, ditahan Isnin lalu kerana mendera anaknya termasuk merebus anak anjing mangsa sehingga mati dan memukul seorang lagi anaknya yang hamil hingga keguguran.

Martha Crouch, 53, yang kini didakwa turut merantai seorang anak perempuannya selama tiga tahun kerana mahu remaja itu kurus.

Menurut dokumen mahkamah, ibu kepada 15 anak itu merebus beberapa anak anjing baru lahir dalam periuk besar dan memaksa anaknya melihat haiwan berkenaan mati.

Seorang anak perempuan yang mengandung ketika berusia 14 tahun juga dipukul Martha sehingga keguguran, lapor Daily Mail.

Siasatan turut membongkar perbuatan Martha dan suaminya memukul, merempuh dan menikam seorang anak lelaki mereka, selain menembak seorang lagi dengan senapang angin, malah mangsa berkenaan mendakwa pelurunya masih di dalam lengannya.

Baru-baru ini, pegawai jabatan kebajikan New Mexico berusaha bertemu dengan Martha di kediamannya atas dakwaan mengabaikan pendidikan anak-anak, namun menemui kegagalan.

Ketika disiasat, anak-anak Martha memberitahu polis mereka sekeluarga berpindah ke kawasan lain setiap kali disoal siasat pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun Timothy Crouch Jr, 31, menafikan semua tuduhan terhadap ibunya dan mendakwa adik-beradiknya mereka cerita.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Crouch dituduh mengacukan senapang ke arah tiga beradik lelakinya dan mengugut akan menembak mereka dalam kejadian pada 30 Mei lalu.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 7:30am
d