global

Padah nak menunjuk

Oleh Agensi

BEIJING: Doktor di China memberi amaran kepada orang ramai jangan cuba meniru aksi bahaya membuka botol bir dengan kayu penyepit yang tular di media sosial.

Mereka memberi amaran itu selepas menerima beberapa laporan kes kecederaan disebabkan tangan tercucuk kayu penyepit, lapor Daily Mail.

Dalam kes terbaru, seorang lelaki berusia 20an terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan kayu penyepit sepanjang dua sentimeter yang menembusi tapak tangannya.

Gambar yang didedahkan oleh Hospital Perubatan Tradisional Cina Xiaoshan di timur wilayah Zhejian menunjukkan kejadian ngeri itu namun objek terbabit berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan selama 30 minit.

Doktor di hospital terbabit, Dr Xiong Zhenfei memberitahu City Express bahawa mereka menerima lima pesakit dengan kecederaan yang hampir sama dalam tempoh dua minggu.

“Mereka semua cedera akibat tangan tercucuk kayu penyepit. Pesakit ini pula menekan kayu penyepit dengan kuat hingga tercucuk. Jarinya berasa kebas mungkin disebabkan sarafnya menjadi rosak,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2019 @ 10:52pm
d